Thursday, January 27, 2011

Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri

Tajuk: Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri
Penulis: Za'ba
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN: 978-983-46-0288-8
Harga: RM15.00 (Koperasi Kedaibuku Universiti Malaya)

Proses mendapatkan buku ini agak susah dengan berbagai2 masalah dan kelewatan dari pihak berkenaan. Sudah lama aku mencari buku ini dan akhirnya jumpa juga. Namanya pun edisi khas, aku pasti pengeluarannya agak terhad.

Aku berusaha mencari buku ini bila terbaca tentang artikel yang ditulis oleh bekas mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin. Katanya dia mendapat buku ini hadiah dari kalau tak silap aku Prof Diraja Ungku Aziz. Oleh kerana penulisnya seorang yang berwibawa jadi melekat tajuk buku ni di ingatan aku.

Masa mula ingat tajuk dia tentang perangai kita yang berpunca dari sikap diri kita sendiri. Tapi meleset. Ianya tentang kita(diri sendiri) yang patut bergantung pada diri kita sendiri untuk mendapatkan sesuatu tanpa mengharapkan orang lain. Kritikan Za'ba tentang orang yang selalu mengharapkan orang lain hatta untuk perkara ibadah pun dianggap diibaratkan umpama "kutu di atas kepala".

Za'ba mengkritik hebat mereka yang tidak bergantung pada diri sendiri. Beliau menyentuh mengenai orang yang tidak mahu beramal ibadat dan mengharapkan pada sedekah tahlil dari orang ramai bila mereka sudah meninggal untuk bantuan masuk ke syurga. Malah dengan nada sinis Za'ba berkata ada juga yang mengharap syafaat dari Rasullullah untuk ke syurga. Beliau menyatakan bahawa Rasulullah akan malu dengan umatnya hanya mengharap syafaatnya tanpa mahu beramal ibadat. Sedangkan amal ibadat itu adalah tanggungjawab diri masing2.Ia seperti dinyatakan dalam:

"Akan tetapi jika "semuanya" orang Islam hendak jadi begitu - hendak masuk ke syurga dengan jalan syafaatnya dan permohonan Rasullullah sahaja menolongnya,bukan dengan jalan amal sendiri atau dengan jalan kelayakan sendiri dari sebab amalnya itu - nescaya tentulah akan memberi malu besar kepada Rasulullah hendak memohon ke hadirat Tuhan"

Menurut Za'ba ini adalah punca mengapa orang melayu dan orang Islam menjadi mundur. Mereka terlalu berharap pada orang lain untuk mendapatkan sesuatu. Sikap kononnya "saya tak mampu" atau merendah diri tidak kena pada tempat ini menjadi punca melayu menjadi mundur. Selain itu malas juga menjadi punca mengapa Melayu mundur.

Malahan Za'ba menyatakan bahawa melayu mundur kerana mereka mereka berada di tanah air mereka sendiri dan mendapat satu keistimewaan disini. Kalau mengikut kata Tun Mahathir, Melayu perlukan tongkat. Ini berbeza dengan sikap pendatang yang perlu berusaha sendiri tanpa ada bantuan untuk meneruskan hidup. Dek kerana itulah mereka boleh berjaya di Tanah Melayu ini. Mungkin pada masa buku ini ditulis Za'ba menggambarkan tentang orang Cina. Tetapi jika diteliti pada zaman sekarang ia bukan lagi orang Cina yang telah berjaya tetapi lebih kepada orang Indonesia dan Bangladesh yang sanggup membuat apa sahaja pekerjaan di negara ini tidak kira siang dan malam untuk mendapatkan rezeki. Lihat sahaja di mana2 di Kuala Lumpur atau pun di tanah ladang pekerja mereka adalah rakyat Indonesia ataupun Bangladesh.

Melayu tidak mahu berusaha untuk mendapatkan sesuatu. Kalau mahu belajar perlu dapatkan bantuan pinjaman kalau tak anak2 takkan dapat menyambung pelajaran. Kalau mahu bekerja mahu ada orang dalam yang tolong, kalau mahu berniaga kena dapatkan suntikan modal dari kerajaan tanpa mahu berusaha berjimat dan menyimpan wang untuk keluarkan modal sendiri.

Di samping itu Za'ba juga menyentuh tentang isu "bertaklid buta" atau mengikut saja apa yang telah mereka pelajari tanpa mahu bertanya mengapa ia begitu, atau mengkaji bagaimana ia begini. Menerima bulat2 apa yang telah diajarkan oleh guru. Isu ini ada juga dibincangkan oleh bekas Mufti Perlis. Bertaklid buta ini menyebabkan umat Islam menjadi mundur dan kejatuhan empayar Islam dulu kerana manusia malas berfikir dan tiada lagi teknologi atau penemuan2 baru yang boleh memberi impak kepada tamadun Islam. Mereka hanya berharapkan pada apa yang telah ditemui oleh tuk-tuk guru mereka tanpa ada kemahuan untuk mengkaji dengan lebih mendalam lagi. Alasannya kerana takut nanti orang kata kita menyimpang dari agama dan akan menyebabkan perselisihan faham dalam hal berkaitan agama.

Za'ba menyimpulkan perselisihan faham ini dengan satu hadis "Perselisihan faham antara orang2 umatku adalah satu rahmat dari Tuhan". (namun tidak dinyatakan pula riwayat hadis ini). Saya amat tertarik dengan satu perenggan yang ditulis oleh Za'ba tentang kepelbagaian Mazhab:

     "Maka hanyalah orang2 kemudian yang kurang pengenalan sahaja telah menyempitkan     kawasan ini dengan menghukumkan tidak boleh berpindah2 dari satu mazhab kepada lain mazhab jika tidak diketahui semuanya kaedah2 tiap2 mazhab itu sebagaimana ahli2nya sendiri. Padahal kita dan kebanyakan orang alim kita pun, pengajian atau Mazhab Shafi'e atau Hanafi sahaja pun tidak boleh terhabiskan seumur hidup!! Sesungguhnya inilah pemandangan orang yang sempit hatinya, sempit fikirannya dan sempit kira2 -orang yang tiada harapan boleh maju dan bersendiri dalam hal ehwal pengajian agamanya!!"

Za'ba juga membincangkan tingkat2 kejahatan dan kebajikan. Za'ba juga mengaitkan kebajikan dan kejahatan dengan konsep "beriman" dan mengkritik ulama2 yang menekankan konsep "beriman" hanya tentang buat amal ibadat seperti solat, puasa ataupun bertasbih beribu2 kali dan sebagainya. Bagi Za'ba solat bukan hanya untuk masuk syurga malahan ia sebenarnya adalah untuk memperbaiki diri sendiri. Menurutnya segala amal ibadat iaitu solat, puasa atau bertasbih beribu2 kali itu merupakan asas untuk seseorang melakukan kebajikan dan bukan semata2 masuk syurga. Za'ba juga dapat memahamkan aku betapa bila kita solat bukan untuk masuk syurga tetapi hanya kerana Allah Taa'la. Malahan menurut Za'ba tiada jaminan mereka yang solat,puasa itu masuk syurga jika masih lagi mengumpat, makan rasuah dengki dan riak. 

Walaupun buku ini hanya setebal 140 muka sahaja, tetapi terlalu banyak yang diperbincangkan oleh Za'ba. Kritikan2 beliau terhadap orang melayu bukan sahaja untuk zamannya sahaja malah masih boleh terpakai hingga ke zaman ini lagi. Memang berbaloi mendapatkan buku ini walaupun dengan harga RM15 mahal sedikit dari harga yang pernah dijual oleh pihak DBP sendiri. Aku sarankan buku ini dibaca oleh anak2 muda dan pelajar2 sekolah supaya mereka mendapat kesedaran lebih awal tentang sikap bergantung pada diri sendiri ini. 

4 comments:

  1. Very Interesting.. Cmner aku nak dapatkan buku ni Rem..??..

    ReplyDelete
  2. aku dapatkan dekat Koperasi Kedaibuku UM. www.kkum.com.my (ni kalau x silap la web address dia)..tp kalu ko nk beli kena follow up la..dia orgnya sistem ni kelam kabut ckit. nk buat payment pun payah...

    thanks visit blog aku

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum..

    jika berminat untuk mendapatkan buku-buku terbitan DBP dgn kadar diskaun menarik, sila email saifulnazaree@gmail.com. kadar diskaun menarik sah untuk belian tunai sahaja.

    terima kasih

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...