Monday, April 4, 2011

Bahan bacaan cerminan mentaliti kita

Terdapat banyak bahan bacaan yang ada dipasaran. Ini termasuklah novel,komik, majalah dan lain-lain lagi. Namun pemilihan bahan bacaan selalunya bergantung pada minat kita. Ada yang minat membaca novel kerana ia digambarkan sebagai bahan bacaan yang agak ringan dan mudah difahami. Kadang kita memilih bahan bacaan tersebut kerana kita ingin mencari maklumat. Ini bolehlah digambarkan sebagai bahan bacaan berat. Namun, bahan bacaan yang kita pilih selalunya menggambarkan identiti kita. Namun tidak dinafikan terdapat juga yang membeli pelbagai jenis buku bersesuaian dengan waktu yang sesuai untuk dibaca, kenapa kita ingin membaca buku tersebut dan pelbagai sebab lagi.

Tanpa kita sedar sebenarnya buku banyak mempengaruhi mentaliti kita atau bagaimana kita berfikir. Pemilihan buku-buku ringan dan berat akan mengubah cara kita berfikir. Mungkin banyak faktor-faktor lain lagi, namun tidak dinafikan buku adalah salah satunya. Faktor ini juga mempengaruhi dunia penulisan tanah air kita. Artikel dibawah dipetik dari akhbar Berita Harian-bagaimana corak pembacaan rakyat Malaysia mempengaruhi dunia penulisan negara.

Jauh di sudut hati aku berpendapat, kadar pembacaan buku di kalangan rakyat Malaysia telah meningkat. Ini suatu yang harus dipandang positif biarpun bahan bacaan yang mungkin dipilih adalah kategori bahan bacaan ringan. Namun, langkah harus diambil untuk mendidik pembaca supaya memilih bahan bacaan berkualiti.

Dalam hal ini aku akui, kadang kala aku memilih bahan bacaan seperti novel sekadar untuk suka-suka dan juga untuk menenang minda ( boleh la dikatakan sebagai terapi minda). Namun terdapat juga bahan bacaan yang boleh la aku kategorikan sebagai berat untuk bacaan aku.

Artikel yang dipetik dari Berita Harian

Seorang penerbit novel bertaraf karya popular kelihatan bangga ketika menceritakan perusahaannya yang bertambah kukuh. "Kami memilih karya yang baik dan digemari ramai. Kami pilih sasaran pembaca dan menyertai pesta buku di Pusat Dagangan Dunia Putra kerana mengetahui sasaran pembaca," tuturnya. Beliau berjaya menerbitkan berbelas novel setahun yang sebahagian besarnya menceritakan isu remaja, cinta terhalang, dilema rumah tangga dan masalah wanita moden.

Dia menyediakan peruntukan besar untuk kos percetakan, pengedaran, pengiklanan dan bayaran royalti kepada penulis yang berjaya mencapai sasaran jualan tertentu. Dia tidak peduli sama ada karya yang diterbitkan bakal dinilai panel Hadiah Sastera Perdana atau tidak.
Yang pasti, selaku penerbit, dia mahu memberi karya kepada sasarannya dan yakin dapat mencatat keuntungan daripada setiap hasil penerbitannya. Dia tidak pedulikan pengiktirafan panel sastera kerana yang penting karya sampai kepada sasaran.
Di mana saja, isu karya popular atau serius sering bertele-tele. Penulis atau sasterawan sentiasa menjaga kualiti karya dan tidak terjebak melahirkan karya murahan atau popular.

Risikonya amat besar apabila karya serius dan seni sentiasa hilang khalayak kerana cita rasa sebahagian besar rakyat Malaysia adalah membaca karya popular yang boleh ditelaah dalam masa beberapa jam saja.


Seorang teman yang komited melahirkan karya serius dan bermutu akhirnya terpaksa mengalah kerana karyanya terpaksa dijadikan ‘hadiah’ kepada rakan kerana tidak mencatat jualan sepatutnya. Bekas Ahli Parlimen DAP kawasan Menglembu, Fan Yew Teng (mendiang) terpaksa mengalah dan kembali ke arena politik menjelang saat kematiannya kerana tidak dapat melariskan jualan karyanya. Fan juga menjadi panel penulis beberapa majalah antarabangsa bagi melahirkan pandangannya kerana mustahil media tempatan menyiarkan idea di luar pemikiran perdana.


Sepanjang suku pertama tahun ini, ada dua buku yang menjadi tumpuan khalayak tempatan. Karya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berjudul A DOCTOR IN THE HOUSE: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad dilancarkan dan dijual pada 8 Mac lalu.

Karya berharga RM100 senaskhah menjadi bualan umum kerana beberapa isu politik yang dipaparkan sepanjang 22 tahun perkhidmatannya menimbulkan polemik tersendiri. Pro dan kontra isu yang dipaparkan menjadi wacana menarik untuk pengkaji sejarah politik menilai isu siasah dari pendekatan bekas Presiden UMNO itu sendiri.

Bekas wartawan dan Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin atau dikenali Zam menghasilkan Hari Itu Sudah Berlalu yang menceritakan pengalaman pengamal media dalam situasi siasah negara.


Beberapa isu dalaman seperti kejadian menjelang pengharaman UMNO pada 1988 dicatat dengan rapi menerusi perspektif insan di bilik berita. Zam juga mengukir latar konfrontasi Malaysia dan Indonesia serta adegan lucu pertemuan Tunku Abdul Rahman Putra dengan Sukarno di Manila bagi menamatkan krisis dua negara berjiran. Karya memoir kewartawanan ini diadun bersama nota kaki dan fakta yang boleh dipertanggungjawabkan. Pengalaman peribadinya bermanfaat untuk pengamal media dan sarjana politik membuat kajian implisit.


Bagaimanapun isu karya serius dan boleh dipertanggungjawabkan bukan sekadar penerbitan. Apakah ia bakal dibeli dan ditelaah masyarakat?


Jika karya baik tidak laris di pasaran, apakah ada penerbit sanggup berisiko menerbitkan karya sedemikian?


Menyedari hakikat ini mendorong kerajaan memperuntukkan RM2 juta tahun ini bagi membeli secara terus karya dan buku yang ditulis oleh penulis serta membantu mengedarkan karya mereka ke perpustakaan seluruh negara.


Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yakin menerusi cara itu peranan orang tengah yang bertanggungjawab mengedar buku dapat dielak, seterusnya membantu penulis menikmati pendapatan lebih baik.


“Kebanyakan penulis kita tidak boleh hidup dengan menulis sebab orang tengah main peranan dan mengambil komisyen lebih. Sebab itu kerajaan membuat perancangan semula dengan kita beli terus buku dan edarkan kepada perpustakaan desa dan dengan cara ini kita dapat menggalakkan penulisan buku dan pada masa yang sama menggalakkan tabiat membaca di kalangan masyarakat,” katanya selepas merasmikan program Mari Membaca 1Malaysia bersama Ikon Membaca yang juga pelakon Datuk Michelle Yeoh di Perpustakaan Negara Malaysia baru-baru ini.

Sunday, April 3, 2011

Dwilogi Padang Bulan Dan Cinta di Dalam Gelas - Part 2

Sambungan tentang Padang Bulan pula adalah Cinta di Dalam Gelas. Dalam novel ini penulis mengisahkan sepenuhnya tentang Maryamah yang ingin menegakkan maruahnya sebagai seorang wanita yang telah dizalimi oleh suaminya, Matarom. Maryamah akhirnya bercerai kerana sikap suaminya yang gila perempuan serta tidak bertanggungjawab. Maryamah sebenarnya adalah isteri kedua namun dia tidak mengetahuinya sehingga isteri pertama datang menemuinya. Namun isteri pertama tidak pernah menyalahkan Maryamah kerana dia tahu sikap suaminya yang sebenar.

Demi menegakkan maruahnya setalah diceraikan, Maryamah belajar bermain catur untuk berlawan mengalahkan suaminya. Setiap ulangtahun kemerdekaan Indonesia, di kampungnya akan diadakan pertandingan catur. Namun ianya hanya untuk lelaki. Oleh itu Maryamah ingin memecah tradisi ingin bermain catur dan menegakkan maruahnya dengan mengalahkan bekas suaminya semasa pertandingan itu nanti.

Maryamah berusaha belajar bermain catur dengan mendapat bimbingan Grand Master Ninochka (sahabat Ikal yang pernah mengajarnya bermain catur, tetapi Ikal kalah hanya dalam set pertama!!!! aku memang tak tahan dengan cerita Ikal).

Setelah mendapat lampu hijau dari orang kampung untuk menyertai pertandingan catur, Maryamah melalui pelbagai rintangan kerana perlu menghadapi ramai pesaing sebelum boleh bertemu dengan bekas suaminya. Ini termasuklah seorang lelaki yang telah menyebabkan nyawanya hampir melayang sewaktu kecil kerana terjun di dalam jeram yang dalam akibat dikejar oleh anjing lelaki tersebut.

Pertandingan catur itu bukan sahaja medan untuk membalas dendam secara terhormat oleh Maryamah, malah ia adalah tempat untuk membalas budi. Ini dibuktikan apabila Maryamah membayar semula wang yang telah diberikan ioleh seorang tauke Cina yang membantunya untuk pulang ke rumah setelah gagal mendapat kerja semasa kecil dahulu.

Maryamah mendapat sokongan dari sahabatnya seperti Ikal, Detektif M. Nur dan Jose Rizal (burung merpati Detektif M. Nur). Apa yang mengharukan adalah pada hari Maryamah bertarung menegakkan maruahnya di hadapan bekas suami, pembimbingnya hadir bersama untuk memberikan sokongan.

Cerita Cinta di Dalam Gelas mungkin tak selucu Padang Bulan namun aku banyak belajar tentang harga diri seorang wanita yang maruahnya dijatuhkan oleh seorang bergelar suami. Biarpun Maryamah pada dasarnya nampak seperti membalas dendam, namun ia melakukannya dengan cara terhormat.

Semasa membaca buku ini, aku betul-betul dapat menjiwai perasaan Maryamah. Setiap kali aku membaca aku berdoa supaya strategi yang digunakan oleh Maryamah berjaya. Biarpun adakala dalam pertandingan tersebut Maryamah kalah namun semua itu kerana strategi yang diatur olehnya untuk bertemu Matarom.

Aku gembira kerana akhirnya derita hidup Maryamah berakhir dan cita-citanya untuk menjadi guru bahasa Inggeris berjaya. Yang kecewanya, kesudahan Ikal dan A Ling kerana mereka tidak bersatu. Puncanya tidak pula diceritakan. Ikal akhirnya menubuhkan persatuan bujang lapuk!! Ishishish.... Ikal! Ikal!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...