Sunday, April 3, 2011

Dwilogi Padang Bulan Dan Cinta di Dalam Gelas - Part 2

Sambungan tentang Padang Bulan pula adalah Cinta di Dalam Gelas. Dalam novel ini penulis mengisahkan sepenuhnya tentang Maryamah yang ingin menegakkan maruahnya sebagai seorang wanita yang telah dizalimi oleh suaminya, Matarom. Maryamah akhirnya bercerai kerana sikap suaminya yang gila perempuan serta tidak bertanggungjawab. Maryamah sebenarnya adalah isteri kedua namun dia tidak mengetahuinya sehingga isteri pertama datang menemuinya. Namun isteri pertama tidak pernah menyalahkan Maryamah kerana dia tahu sikap suaminya yang sebenar.

Demi menegakkan maruahnya setalah diceraikan, Maryamah belajar bermain catur untuk berlawan mengalahkan suaminya. Setiap ulangtahun kemerdekaan Indonesia, di kampungnya akan diadakan pertandingan catur. Namun ianya hanya untuk lelaki. Oleh itu Maryamah ingin memecah tradisi ingin bermain catur dan menegakkan maruahnya dengan mengalahkan bekas suaminya semasa pertandingan itu nanti.

Maryamah berusaha belajar bermain catur dengan mendapat bimbingan Grand Master Ninochka (sahabat Ikal yang pernah mengajarnya bermain catur, tetapi Ikal kalah hanya dalam set pertama!!!! aku memang tak tahan dengan cerita Ikal).

Setelah mendapat lampu hijau dari orang kampung untuk menyertai pertandingan catur, Maryamah melalui pelbagai rintangan kerana perlu menghadapi ramai pesaing sebelum boleh bertemu dengan bekas suaminya. Ini termasuklah seorang lelaki yang telah menyebabkan nyawanya hampir melayang sewaktu kecil kerana terjun di dalam jeram yang dalam akibat dikejar oleh anjing lelaki tersebut.

Pertandingan catur itu bukan sahaja medan untuk membalas dendam secara terhormat oleh Maryamah, malah ia adalah tempat untuk membalas budi. Ini dibuktikan apabila Maryamah membayar semula wang yang telah diberikan ioleh seorang tauke Cina yang membantunya untuk pulang ke rumah setelah gagal mendapat kerja semasa kecil dahulu.

Maryamah mendapat sokongan dari sahabatnya seperti Ikal, Detektif M. Nur dan Jose Rizal (burung merpati Detektif M. Nur). Apa yang mengharukan adalah pada hari Maryamah bertarung menegakkan maruahnya di hadapan bekas suami, pembimbingnya hadir bersama untuk memberikan sokongan.

Cerita Cinta di Dalam Gelas mungkin tak selucu Padang Bulan namun aku banyak belajar tentang harga diri seorang wanita yang maruahnya dijatuhkan oleh seorang bergelar suami. Biarpun Maryamah pada dasarnya nampak seperti membalas dendam, namun ia melakukannya dengan cara terhormat.

Semasa membaca buku ini, aku betul-betul dapat menjiwai perasaan Maryamah. Setiap kali aku membaca aku berdoa supaya strategi yang digunakan oleh Maryamah berjaya. Biarpun adakala dalam pertandingan tersebut Maryamah kalah namun semua itu kerana strategi yang diatur olehnya untuk bertemu Matarom.

Aku gembira kerana akhirnya derita hidup Maryamah berakhir dan cita-citanya untuk menjadi guru bahasa Inggeris berjaya. Yang kecewanya, kesudahan Ikal dan A Ling kerana mereka tidak bersatu. Puncanya tidak pula diceritakan. Ikal akhirnya menubuhkan persatuan bujang lapuk!! Ishishish.... Ikal! Ikal!

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...