Thursday, January 27, 2011

Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri

Tajuk: Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri
Penulis: Za'ba
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN: 978-983-46-0288-8
Harga: RM15.00 (Koperasi Kedaibuku Universiti Malaya)

Proses mendapatkan buku ini agak susah dengan berbagai2 masalah dan kelewatan dari pihak berkenaan. Sudah lama aku mencari buku ini dan akhirnya jumpa juga. Namanya pun edisi khas, aku pasti pengeluarannya agak terhad.

Aku berusaha mencari buku ini bila terbaca tentang artikel yang ditulis oleh bekas mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin. Katanya dia mendapat buku ini hadiah dari kalau tak silap aku Prof Diraja Ungku Aziz. Oleh kerana penulisnya seorang yang berwibawa jadi melekat tajuk buku ni di ingatan aku.

Masa mula ingat tajuk dia tentang perangai kita yang berpunca dari sikap diri kita sendiri. Tapi meleset. Ianya tentang kita(diri sendiri) yang patut bergantung pada diri kita sendiri untuk mendapatkan sesuatu tanpa mengharapkan orang lain. Kritikan Za'ba tentang orang yang selalu mengharapkan orang lain hatta untuk perkara ibadah pun dianggap diibaratkan umpama "kutu di atas kepala".

Za'ba mengkritik hebat mereka yang tidak bergantung pada diri sendiri. Beliau menyentuh mengenai orang yang tidak mahu beramal ibadat dan mengharapkan pada sedekah tahlil dari orang ramai bila mereka sudah meninggal untuk bantuan masuk ke syurga. Malah dengan nada sinis Za'ba berkata ada juga yang mengharap syafaat dari Rasullullah untuk ke syurga. Beliau menyatakan bahawa Rasulullah akan malu dengan umatnya hanya mengharap syafaatnya tanpa mahu beramal ibadat. Sedangkan amal ibadat itu adalah tanggungjawab diri masing2.Ia seperti dinyatakan dalam:

"Akan tetapi jika "semuanya" orang Islam hendak jadi begitu - hendak masuk ke syurga dengan jalan syafaatnya dan permohonan Rasullullah sahaja menolongnya,bukan dengan jalan amal sendiri atau dengan jalan kelayakan sendiri dari sebab amalnya itu - nescaya tentulah akan memberi malu besar kepada Rasulullah hendak memohon ke hadirat Tuhan"

Menurut Za'ba ini adalah punca mengapa orang melayu dan orang Islam menjadi mundur. Mereka terlalu berharap pada orang lain untuk mendapatkan sesuatu. Sikap kononnya "saya tak mampu" atau merendah diri tidak kena pada tempat ini menjadi punca melayu menjadi mundur. Selain itu malas juga menjadi punca mengapa Melayu mundur.

Malahan Za'ba menyatakan bahawa melayu mundur kerana mereka mereka berada di tanah air mereka sendiri dan mendapat satu keistimewaan disini. Kalau mengikut kata Tun Mahathir, Melayu perlukan tongkat. Ini berbeza dengan sikap pendatang yang perlu berusaha sendiri tanpa ada bantuan untuk meneruskan hidup. Dek kerana itulah mereka boleh berjaya di Tanah Melayu ini. Mungkin pada masa buku ini ditulis Za'ba menggambarkan tentang orang Cina. Tetapi jika diteliti pada zaman sekarang ia bukan lagi orang Cina yang telah berjaya tetapi lebih kepada orang Indonesia dan Bangladesh yang sanggup membuat apa sahaja pekerjaan di negara ini tidak kira siang dan malam untuk mendapatkan rezeki. Lihat sahaja di mana2 di Kuala Lumpur atau pun di tanah ladang pekerja mereka adalah rakyat Indonesia ataupun Bangladesh.

Melayu tidak mahu berusaha untuk mendapatkan sesuatu. Kalau mahu belajar perlu dapatkan bantuan pinjaman kalau tak anak2 takkan dapat menyambung pelajaran. Kalau mahu bekerja mahu ada orang dalam yang tolong, kalau mahu berniaga kena dapatkan suntikan modal dari kerajaan tanpa mahu berusaha berjimat dan menyimpan wang untuk keluarkan modal sendiri.

Di samping itu Za'ba juga menyentuh tentang isu "bertaklid buta" atau mengikut saja apa yang telah mereka pelajari tanpa mahu bertanya mengapa ia begitu, atau mengkaji bagaimana ia begini. Menerima bulat2 apa yang telah diajarkan oleh guru. Isu ini ada juga dibincangkan oleh bekas Mufti Perlis. Bertaklid buta ini menyebabkan umat Islam menjadi mundur dan kejatuhan empayar Islam dulu kerana manusia malas berfikir dan tiada lagi teknologi atau penemuan2 baru yang boleh memberi impak kepada tamadun Islam. Mereka hanya berharapkan pada apa yang telah ditemui oleh tuk-tuk guru mereka tanpa ada kemahuan untuk mengkaji dengan lebih mendalam lagi. Alasannya kerana takut nanti orang kata kita menyimpang dari agama dan akan menyebabkan perselisihan faham dalam hal berkaitan agama.

Za'ba menyimpulkan perselisihan faham ini dengan satu hadis "Perselisihan faham antara orang2 umatku adalah satu rahmat dari Tuhan". (namun tidak dinyatakan pula riwayat hadis ini). Saya amat tertarik dengan satu perenggan yang ditulis oleh Za'ba tentang kepelbagaian Mazhab:

     "Maka hanyalah orang2 kemudian yang kurang pengenalan sahaja telah menyempitkan     kawasan ini dengan menghukumkan tidak boleh berpindah2 dari satu mazhab kepada lain mazhab jika tidak diketahui semuanya kaedah2 tiap2 mazhab itu sebagaimana ahli2nya sendiri. Padahal kita dan kebanyakan orang alim kita pun, pengajian atau Mazhab Shafi'e atau Hanafi sahaja pun tidak boleh terhabiskan seumur hidup!! Sesungguhnya inilah pemandangan orang yang sempit hatinya, sempit fikirannya dan sempit kira2 -orang yang tiada harapan boleh maju dan bersendiri dalam hal ehwal pengajian agamanya!!"

Za'ba juga membincangkan tingkat2 kejahatan dan kebajikan. Za'ba juga mengaitkan kebajikan dan kejahatan dengan konsep "beriman" dan mengkritik ulama2 yang menekankan konsep "beriman" hanya tentang buat amal ibadat seperti solat, puasa ataupun bertasbih beribu2 kali dan sebagainya. Bagi Za'ba solat bukan hanya untuk masuk syurga malahan ia sebenarnya adalah untuk memperbaiki diri sendiri. Menurutnya segala amal ibadat iaitu solat, puasa atau bertasbih beribu2 kali itu merupakan asas untuk seseorang melakukan kebajikan dan bukan semata2 masuk syurga. Za'ba juga dapat memahamkan aku betapa bila kita solat bukan untuk masuk syurga tetapi hanya kerana Allah Taa'la. Malahan menurut Za'ba tiada jaminan mereka yang solat,puasa itu masuk syurga jika masih lagi mengumpat, makan rasuah dengki dan riak. 

Walaupun buku ini hanya setebal 140 muka sahaja, tetapi terlalu banyak yang diperbincangkan oleh Za'ba. Kritikan2 beliau terhadap orang melayu bukan sahaja untuk zamannya sahaja malah masih boleh terpakai hingga ke zaman ini lagi. Memang berbaloi mendapatkan buku ini walaupun dengan harga RM15 mahal sedikit dari harga yang pernah dijual oleh pihak DBP sendiri. Aku sarankan buku ini dibaca oleh anak2 muda dan pelajar2 sekolah supaya mereka mendapat kesedaran lebih awal tentang sikap bergantung pada diri sendiri ini. 

Tuesday, January 25, 2011

Tuhan Manusia

Tajuk     : Tuhan Manusia
Penulis   : Faisal Tehrani
Penerbit : Al-Ameen Serve Holding Sdn Bhd
ISBN    :  9789833991372
Harga    : RM21.90

Pernah pergi ke kedai buku dan ternampak buku ini. Tajuk dah menarik tetapi cover buku macam tak besttttt aje...bila baca sinopsis di belakang ..."ooo...cerita pasal murtad"...tapi entah kenapa terus meletakkan semula buku tersebut di rak buku. Tak beli. Hanya tengok sekali sahaja. Nama penulis pun memang tak kenal tapi ala-ala arab gitu. Hmm...lain kali ajelah.

Tapi bila terbaca tentang Faisal Tehrani terus je rasa "aku kena dapatkan salah satu buku dia ni" hati berbisik. Pergi pula ke Goodreads dan cari tentang buku ni. Komen yang aku dapat positif tentang buku ni....hmmmm..memang kena beli. Tak kisah la cover buku tak cantik pun. Don't judge the book by its cover. 

Bila mula baca buku ni....apa ni? tak faham la....terlalu sarat. Lepas tu setiap bab akan dimulakan dengan ayat yang sama iaitu  Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.” Apa maksudnya? Dalam fikiran...terror gak la penulis ni sebab mampu memulakan setiap bab dengan ayat yang sama. Bukan 1, 2 bab tapi 20 bab tau.

Buku ini bercerita kisah Ali Taqi yang mencari kebenaran dan pemahaman di sebalik peristiwa abangnya, Talha yang telah murtad. Ali Taqi yang kecewa dengan sikap abangnya itu mencari punca kenapa abangnya sanggup meninggalkan agamanya iaitu Islam sedangkan mereka berdua mendapat pendidikan agama yang cukup dari keluarga.
Perjalanan Ali Taqi seorang remaja yang masih di alam persekolahan dalam mencari kebenaran menemukan dia dengan konsep Pluralisme iaitu kesaksamaan agama atau kepercayaan. Semua agama adalah benar mengikut konsep pluralisme ini. Jika Islam percaya Allah yang satu itu benar, Kristian yang percaya Jesus itu Anak Tuhan juga benar. Malahan semua agama termasuk atheis juga benar. Konsep ini timbul dari kepercayaan bahawa konflik agama berpunca dari ketidakpercayaan kita terhadap agama lain. Kononnya, perang salib juga berpunca dari hal ini. 

Pelopor pluralisme ini iaitu John Hick telah memperkenalkannya dan menganggap tujuan pluralisme ini adalah baik untuk masa depan dunia. Jika semua agama itu benar maka kenapakah wujudnya agama di dunia ini? 

Permulaan membaca buku ni rasa mencabar sangat sebab nak fahamkan konsep pluralisme tu. Tapi sabar juga membacanya sampai habis sebab percaya mesti ada yang ingin di sampaikan oleh Faisal sendiri. Lagipun ingin faham maksud pluralisme ini dengan lebih mendalam sebab baru2 ni ada terbaca di akhbar pasal pluralisme yang semakin menular.

Bagi pembaca yang tak mahu dibebani oleh cabaran berfikir akan terus berhenti dari membaca buku ini. Gaya bahasa yang digunakan oleh penulis juga berbelit2 (ini bagi diri aku kerana aku tak suka falsafah dan sastera). Penulis menyentuh mengenai makna pluralisme, sejarahnya, bagaimana ia menular dan punca2 pluralisme tersebut. 

Penulis juga secara tidak langsung telah mengkritik sistem pendidikan negara yang terlalu menyuap pelajar tanpa berfikir dan mengharapkan teks serta berteraskan peperiksaan semata2. Pelajar tidak didedahkan dengan isu semasa yang sepatutnya mereka ketahui atau persediaan untuk menghadapi sesuatu isu. Akhirnya pelajar sendiri tidak mampu atau hilang arah bila menghadapi sesuatu masalah. 
Penulis mungkin membantu pembaca (terutamanya orang yang macam aku ni) untuk mudah memahami apa yang ingin disampaikan apabila kebanyakan dialog umpama membaca teks atau mendengar syarahan dan bukan cerita. Kalau cerita mungkin saku pun tak faham juga agaknya apa yang ingin disampaikan oleh penulis. 

Di akhir bab juga diterangkan apa yang dimaksudkan dengan Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.”. Menurut penulis kita boleh megikut peradaban orang lain tapi tidak boleh meniru budaya mereka. Contohnya kita boleh meniru peradaban barat tapi bukan meniru budaya mereka yang songsang. Budaya dan peradaban itu pula mestilah bertiangkan agama iaitu agama Islam. 

Buku ini diterbitkan pada tahun 2007, ini bermakna semasa artikel yang aku sebutkan tadi keluar di akhbar pada tahun ini, penulis telah pun membincangkannya kira2 3 tahun yang lalu. Penulis telah memberi amaran tentang perkara ini lebih awal nampaknya. Persoalannya  sehingga ke hari ini, berapa ramaikah yang menyedari tentang kewujudan pluralisme ini? Fikir2 kan lah....




Monday, January 17, 2011

Komik Pupuk Minat Membaca

Artikel ni saya ambil dari Utusan Malaysia Online. Agak menarik juga untuk dibaca terutamanya ibubapa sebab mereka ini selalunya selektif dalam memilih bahan bacaan untuk anak-anak mereka. Lepas ni ibubapa semua bolehlah membelikan komik yang bagus dan memberi manfaat untuk anak-anak. Kepada adik2 pula, mereka pasti lega sebab tak perlu lagi membaca buku yang terlalu banyak teks yang membosankan....


Pembacaan komik adalah satu kaedah baru yang boleh digunakan untuk memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak. - Gambar hiasan


KOMIK sering kali dilabel sebagai bahan bacaan murahan atau picisan yang kurang bernilai.
Malah, ia juga acapkali dikaitkan sebagai pembunuh bahasa dan antara medium berkesan yang dikenal pasti mampu merangsang minda kanak-kanak mahupun dewasa menjurus ke arah pembentukan sifat kejam dalam sahsiah keperibadian.
Justeru, tidak menghairankan apabila terbitnya satu perasaan sinikal di sanubari ibu bapa tatkala anak mereka meminta untuk mendapatkan koleksi komik seperti Doraemon, Naruto, Pokemon dan Dragon Ball.
Menganggapnya sebagai satu pembaziran dan tidak berfaedah, ibu bapa lebih gemar bertindak atas kata hati dengan memilih buku-buku yang mereka rasakan berupaya merangsang minda anak-anak, asalkan ia bukan daripada jenis komik.
Namun demikian, apabila Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menyuarakan pandangan untuk menjadikan komik sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah, sekali gus memberi pelbagai spekulasi terhadap cadangan terbaru itu.
Menurut Pengurus Jabatan Komunikasi, Pemasaran dan Jualan ITNM, Zinitulniza Abdul Kadir, pembacaan komik adalah satu kaedah baru yang boleh digunakan untuk memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak.
"Ibu bapa perlu ubah pandangan mereka terhadap komik. Kalau kita lihat sistem pendidikan di Jepun mahupun Korea, semuanya dikomikkan, termasuklah cara-cara baiki kereta dan pelbagai resipi makanan," katanya.
Sambil tidak menafikan bahawa komik sebelum ini pernah dimanipulasikan sebagai medium merosakkan minda kanak-kanak, Zinitulniza berkata, ia sudah berlalu malah paradigma ketika ini telah memperlihatkan satu pengiktirafan kepada genre itu dalam memupuk minat membaca.
Malah, katanya komik hasil kartunis terkenal negara, Datuk Mohd. Nor Khalid yang lebih dikenali sebagai Lat, Kampung Boy, telah dijadikan sebagai bahan bacaan buku teks di Australia. Di barat pula pengiktirafan telah diberikan kepada buku bergenre sedemikian di mana ia kini dikenali sebagai komik sastera.
Katanya, revolusi itu akhirnya membuka lembaran baru terhadap pandangan sinikal dunia komik, apabila ia dijadikan sebagai bahan pendidikan di Korea dan Jepun, sekali gus menarik minat ITNM untuk membawa kaedah baru itu ke sistem persekolahan negara ini.
"Komik bukanlah untuk dijadikan bahan bacaan utama, cuma sebagai jambatan bahan bacaan untuk menarik minat mereka membaca. Apabila mereka seronok, lama-kelamaan mereka akan baca pelbagai jenis buku, yang penting adalah macam mana cara untuk pupuk minat mereka," katanya.
Zinitulniza berkata ibu bapa sering melenting dan merungut apabila anak-anak tidak gemar menjadikan buku sebagai kawan akrab, namun pernahkah mereka cuba mendalami perasaan serta minat anak-anak?
"Ibu bapa suka membaca, tetapi anak-anak tidak minat kerana apabila bawa mereka ke kedai buku, ibu bapa selalunya buat pilihan tidak tepat iaitu memilih buku-buku yang kita rasakan anak-anak suka baca walhal mereka tidak suka sebenarnya.
"Kanak-kanak lebih suka membaca buku-buku yang mereka rasakan ada faedah kepadanya serta mempunyai banyak gambar daripada teks, dan bila mereka pilih komik ibu bapa halang seratus peratus, itu tidak sepatutnya kerana budak-budak apabila dipaksa baca akan jadi mental block," katanya.
Dengan bersandarkan pelbagai cabaran yang menggugat proses pemupukan bacaan seperti siaran televisyen berbayar, permainan komputer, komik dilihat sebagai satu medium terbaik untuk menarik minat membaca, katanya.
Bagi memastikan hasrat ITNM untuk menjadikan komik sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah, Zinitulniza berkata pihaknya komited untuk memilih satu koleksi komik dari Korea yang berkonsepkan 'sains ikhtiar hidup' untuk diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.
Katanya, koleksi komik tersebut dipilih selepas meneliti wawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak nilai dan faedah serta penjualannya yang telah melebihi sebanyak lapan juta di Korea serta lebih empat juta di Thailand.
"Idea ini pernah kita bincangkan secara asas ketika ITNM lancarkan buku Nyawa di Hujung Pedang di Korea yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kita telah tunjukkan contoh komik tersebut serta membawa penulis komik berkenaan bertemu dengan beliau.
"Secara asasnya, Kementerian Pelajaran tertarik dan bersedia untuk menimbangkannya dan sekarang ini ITNM sedang menyediakan rangka kertas kerja kepada kementerian," katanya.
Beliau berkata, komik itu mempunyai 15 judul dan tertumpu kepada teknik penceritaan sekumpulan remaja yang mengembara di hutan, menguji kepintaran mereka menghadapi situasi tertentu apabila berhadapan dengan pelbagai peristiwa yang tidak dijangka.
Katanya, projek perintis itu dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun dan buat permulaan ia hanya diedarkan ke sekolah rendah dan menengah rendah.
Tidak menghalang malah sentiasa menggalakkan anak-anaknya membaca komik, aktor Esma Daniel berpendapat pembacaan buku jenis genre sedemikian sedikit sebanyak telah merangsang pembentukan minda kreatif di kalangan anak-anaknya.
"Saya memang galakkan anak membaca komik kerana ada unsur moral, cuma kena tapis dulu. Saya tidak beri mereka duit beli sendiri kerana mungkin mereka tersalah beli. Adalah tugas ibu bapa, membantu anak memilih koleksi yang dapat membantu proses pendidikan anak mereka," tegas bapa kepada lima orang anak ini. - BERNAMA

Thursday, January 13, 2011

Isabella: Sebuah Novel Perbandingan Agama Antara Islam dan Kristian


Tajuk : Isabella: Sebuah Novel Perbandingan Agama Antara Islam dan Kristian
Penulis : Maulana Muhammad Saeed Dehlvi
Penerbit: Kharisma Network Sdn Bhd
ISBN : 978-967-5029-40-0
Harga : RM22.00



Menyahut cabaran tahun 2011 untuk membaca sebanyak 50 buah buku bermula dengan buku ini. Tertarik membaca komen dan review yang dibuat oleh rakan2 di Goodreads tentang buku ini. Tambahan pula ia berkaitan dengan perbandingan antara agama Islam dan Kristian...sudah pasti ia memang menarik perhatian aku...

Tanpa berfikir panjang aku membelinya tetapi bukan semata2 kerana komen positif sahabat2 tetapi lebih kepada ingin mencari ilham dari buku tersebut. Ternyata tidak sia2 aku membelinya. Kerana dalam masa 2 hari sahaja aku telah habis membaca dan kepala aku sarat dengan ilmu2 yang aku perolehi dari buku ini. Rasa mahu baca sekali lagi tetapi kawan dah booking (tak apalah, memberi galakan kepada sesiapa sahaja untu membaca)

Mengisahkan tentang Isabella seorang anak gadis ketua paderi di Cordova yang akhirnya memeluk Islam hanya kerana keinginan beliau ingin menegakkan kebenaran agama asalnya iaitu Kristian. Isabella dibesarkan dengan cara hidup orang kristian dan belajar bersungguh tentang agamanya.

Namun pada suatu hari dia terdengar perbualan dua saudara Islam iaitu umar Lahmi dan sahabatnya tentang keraguan mereka terhadap Kristian. Isabella yang geram kerana merasa agamanya telah dipersendakan mempelawa Umar Lahmi ke gereja untuk berdebat dan mendapatkan jawapan terhadap keraguan yang dikemukan oleh Umar Lahmi dengan syarat Umar Lahmi akan memeluk agama Kristian jika mereka menemui jawapannya. Umar Lahmi tanpa rasa ragu menerima jemputan Isabella dan menerima syarat tersebut.

Bermula dari perdebatan di gereja itulah hati Isabella mula tertarik dengan ulasan2 dan bantahan Umar Lahmi terhadap agama Kristian. Dia mula mengkaji kitab Injil dan Al-Quran tanpa diketahui oleh bapanya. Sedikit demi sedikit dia mula tertarik dengan Islam dan mendapatkan pertolongan Umar Lahmi secara senyap2 tentang Islam tanpa pengetahuan bapa dan keluarganya.

Sehinggalah akhirnya Isabella nekad untuk memeluk Islam. Namun bukanlah semudah yang disangka kerana dia mendapat tentangan dari ayahnya sendiri iaitu ketua Paderi terbesar Cordova, yang pasti ingin menjaga maruah dan martabatnya. Isabella telah diseksa dengan kejam oleh rahib2 dr Inkuisisi yang tugasnya untuk menyeksa orang yang melakukan kesalahan terutamanya murtad. Namun akhirnya Isabella telah berjaya diselamatkan oleh 4 orang sahabatnya dengan menggunakan tipu daya.

Buku ini telah berjaya mencapai objektif atau menepati tajuk yang telah diberikan iaitu perbandingan agama. Ia terlalu padat dengan fakta tentang kepincangan agama Kristian dan kebenaran yang dibawa oleh Islam melalui nabi Muhammad. Persoalan2 yang dibentangkan adalah perkara2 antaranya:

1) Jesus itu anak Tuhan atau Manusia - Didalam kitab Injil tiada ayat yang menyatakan bahawa Jesus adalah anak Tuhan;

2) Kitab Injil yang dipegang oleh Kristian itu palsu atau benar - Kitab Injil (dikenali sebagai Kitab Perjanjian Lama) yang ditulis oleh beberapa pengikut Jesus dan kemudian pihak gereja berhak untuk memilih mana yang boleh dipakai;

3) Manusia itu dilahirkan berdosa atau suci - setiap orang yan lahir dikatakan memikul dosa Adam yang telah diturunkan ke dunia kerana telah memakan buah khuldi sedangkan Al-Quran menyatakan Adam dalam keadaan lupa semasa melakukannya. Berdosa adalah apabila kita melakukannya dengan sengaja dan dengan pengetahuan kita bukan kerana kita terlupa;

4) Penebusan dosa oleh para paderi- Paderi dianggap boleh mengampunkan dosa penganut Kristian dengan syarat mereka harus mengaku dihadapan paderi dan orang ramai digereja atas dosa mereka. Paderi dianggap suci sedangkan mereka juga melakukan dosa dan siapa pula yang boleh mengampunkan mereka? Perkara penebusan dosa ini menyebabkan orang Kristian tidak takut melakukan kesalahan kerana mereka boleh mengaku kesalahan mereka dan dosa mereka akan diampunkan. Mereka juga akan mengulangi dosa itu kembali.

Banyak lagi persoalan2 yang dibincangkan di dalam buku ini. Penulis menerangkan satu persatu kepincangan dengan bahasa yang mudah difahami, berpandukan kepada apa yang ditulis di dalam Kitab Injil itu sendiri dan kemudian dibetulkan segala kepincangan tersebut dengan ayat2 Al-Quran. Semua perbincangan fakta ini dibuat dalam bentuk dialog.

Walaupun ianya sebuah novel tetapi ia tidak meleret2 dan lebih kepada fakta. Boleh aku katakan hanya beberapa muka surat di depan menceritakan siapa Isabella dan muka surat yang terakhir menceritakan kesudahan hidup Isabella. Tak perlu membaca dengan melangakau muka untuk mengetahui tentang apa yang berlaku seterusnya kerana ini akan menyebabkan kita tertinggal tentang hujah2 yang diberikan terhadap persoalan2 tentang Kristian itu.

Setelah membaca buku ini aku rasa sedikit yakin ( tak berani menyatakan yakin sepenuhnya kerana banyak lagi yang perlu aku ketahui dan pelajari) dalam menghadapi tentangan atau hujahan terhadap agama Islam. Mungkin juga aku boleh menggunakannya buku ini sebagai tauladan untuk berdakwah...almaklumlahhh...aku sedang berteman dengan orang yang berlainan agama juga iaitu Kristian (dek kerana ini jugalah aku membeli buku ini). Moga2 Allah permudahkan jalan dakwah ini...dan mohon Allah memberi petunjuk dan hidayah kepadanya....Aminnn


Wednesday, January 12, 2011

The Titanic Survivor's Story : The Fredericksburg, Va Connection

Ini sebenarnya adalah salah satu e-book yang telah aku download dr laman web www.free-ebooks.net. Aku menjadi ahli sudah lama dah tapi harang sekali aku membaca buku2 dari website ini. Ini kerana kebanyakan e-buku yang ada di sana tidak menepati citarasa.

Buku yang pernah aku downlaod sebelum ni adalah buku Harry Porter. Masa tu buku Harry Porter ni hangat di pasaran. Orang sibuk nak beli tapi aku dapat free. Sebab tulah nama laman web ni free-ebooks...hehehe

E-buku yang aku downlaod ni hanya mempunyai 68 muka surat sahaja. Aku membacanya hanya satu jam sebab saiz font yang besar dan juga jarak baris yang ketara. Rasanya bagus juga ia begitu, dapat la aku membaca dengan jarak penglihatan yang selamat. Kalau tulisan kecil sangat nanti terpaksa la aku merenung laptop aku ni lama2.

Jalan ceritanya seperti aku mendengar kanak-kanak bercerita. Kenapa aku katakan begitu kerana ia diceritakan dengan begitu pantas dan padat. Tiada olahan secara lebih mendalam tentang watak atau pun setiap rentetan peristiwa. Jadi aku cepat memahami apa yang hendak disampaikan. Ia bukan seperti novel yang kadangkala meleret dan penuh puitis. Ini adalah sebuah buku tentang peristiwa yang semua orang telah tahu. Pengakhirannya juga telah kita ketahui rasanya...samada mangsa selamat atau pun tidak. Yang membezakan cerita setiap mangsa adalah tujuan mereka menaiki Titanic dan bagaimana mereka boleh selamat.

Walaupun jalan cerita mangsa hampir sama namun aku masih ingin mengetahuinya. Seperti mana aku ingin menonton Teater Natrah walaupun aku telah mengetahui jalan ceritanya. Macam tulah keinginan aku nak baca pasal Titanic. Di dalamnya diletakkan juga potongan suratkhabar tentang cerita Naseef serta gambarnya bersama ahli keluarga.

Bagus jugak dapat buku free ni. Bukan selalu kita dapat kan?!. Tp tulah kelemahan buku free sbb tak semuanya betul2 memberi input berguna dan betul2 lengkap. Kadang2 hanya diberi point form dan sedikit penerangan. Terpaksa pula mencari input tambahan. Kalau bacaan ringan macam ni boleh la diterima lagi.

Buku ini mengisahkan tentang Naseef Cassem yang membawa anak jirannya yang berusia 12 tahun untuk diserahkan kepada ibu bapanya. Namun malang menimpa apabila Titanic telah melanggar ketulan aisberg yang telah menyebabkannya karam. Naseef cuba menyelamatkan kanak2 yang dibawanya dengan menaikkannya ke bot penyelamat. Namun ia hampa apabila mengetahui bot tersebut tidak diselamatkan oleh kapal yang melalui kawasan Titanic karam.

Thursday, January 6, 2011

Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman


Tajuk : Trevelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (Edisi Kemas Kini)
Penulis : Muhd Kamil Ibrahim
Penerbit: PTS Islamika
ISBN : 978-967-366-026-1
Harga :RM29.00




Aku memang dah lama tertarik dengan buku ni bila aku melawat MPH. Tapi disebabkan belanjawan bulanan tidak mengizinkan, jadi aku tangguhkan dulu niat tu. Jadi bila dah ada duit lebih, aku pun pergi ke MPH berhampiran rumah aku ni dan beli buku ni serta buku The Choice(buku ni belum habis baca lagi).

Tajuknya pun kita dah tau dah mesti la ia berkisar tentang orang yang nak pergi haji. Cari buku travelog setelah jatuh cinta membaca Travelog Iran( tapi review buku ni tak sempat nak tulis dalam blog ni). Jadi aku pun cuba la cari beberapa buku travelog termasuklah buku Travelog Cinta Abadi (penulis buku ni adalah isteri penulis buku Travelog Haji).

Mula membaca buku ni beberapa hari umat Islam ingin menyambut Hari Raya Korban yang lalu. Suasana ingin menyambut hari raya ditambah pula paparan berita jemaah haji di Mekah menambahkan mood untuk membaca buku ni pada masa tu. Mungkin ingin lebih mengetahui apa yg sedang dilakukan oleh jemaah di Mekah.

Permulaan cerita tentang diri penulis yang penuh rasa jujur dan rendah diri lantaran kekurangannya dalam pengetahuan agama membuat aku terfikir tiada apa yang dapat menghalang hidayah Allah kepada seseorang itu jika dia benar2 ingin serta ikhlas untuk berubah.

Cerita tentang kad jemputan dari Allah untuk menjadi tetamu-Nya di Mekah membuat aku hampir menangis, kerana takut tidak dijemput Allah. Terasa keinsafan diri kerana banyak juga melakukan dosa samada sedar atau tidak, takut2 ia akan menjadi penghalang aku menjadi tetamunya. Astaghfirullah....

Penulis bercerita tentang segala pengalaman yang pasti memberi impak yang besar kepada dirinya serta beberapa ahli keluarga yang dibawanya bersama. Pelbagai pengalaman seperti membantu jemaah mendapatkan saf dihadapan, pengalaman mencium Hajarul Aswad dan banyak lagi yang pasti memberi banyak kenangan yang takkan dilupakan oleh sesiapa pun yang pergi ke rumah Allah tersebut.

Penulis juga memnceritakan segala pengalaman mengenai apa yang ingin dilakukan di Mekah, halangan2 dan bagaimana dia menghadapi segala halangan tersebut. Beliau juga memberi tips2 yang mungkin kita tidak ketahui tetapi dia menggunakan segala logik akal yang dikurniakan Allah untuk keluar dengan teori2 ringkas. Walaupun kita merasakan bahawa ia adalah sesuatu yang tidak perlu, tetapi penulis telah mengamalkannya dan ia berhasil. Sudah tentu semua itu dengan bantuan Allah juga.

Aku amat tertarik membaca buku ini kerana ia dibahagi kepada bab2 dan setiap bab adalah cerita yang berbeza. Setiap cerita akan diberi kesimpulan kenapa ia terjadi atau apa hikmah yang penulis temui di sebalik segala peristiwa yang dialaminya.Penulis menghadapi beberapa kesukaran tetapi penulis tidak pernah pula menganggap ia adalah balasan Allah terhadap perbuatan atau kejahillannya. Sebaliknya ia menganggap ia adalah sebahagian dr petunjuk Allah yang ingin kita berfikir.

Buku ini membuat aku sedar betapa keikhlasan dalam melakukan ibadah itu adalah amat penting sekali. Biarpun hanya sedikit tetapi jika kita terlalu ikhlas pasti Allah akan membalasnya.

Begitu juga dengan kekuatan doa. Kadang kala kita lupa untuk berdoa pada Allah atau bila kita berdoa kita cepat putus asa bila Allah tidak mengabulkannya...sedangkan kita tidak tahu apa yang telah direncana Allah untuk diri kita. Ia membuat aku teringat tentang beberapa perkara yang berlaku terhadap diri ini sepanjang tahun 2010 yang lalu. Aku perlu terus berdoa lagi.

Kadangkala kita bangga kerana ingin pergi menunaikan haji. Tetapi adakah kita pasti akan mendapat haji mabrur - sepatutnya inilah yang kita fikirkan.Aku syorkan buku ini dibaca oleh sesiapa yang ingin melakukan ibadah haji ataupun umrah. Ia sarat dengan pengajaran yang amat berguna. Aku juga mohon pada Allah agar diberi kad jemputan ke rumah-Nya suatu hari nanti. Aminnnn

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...