Showing posts with label Novel Islami. Show all posts
Showing posts with label Novel Islami. Show all posts

Tuesday, May 17, 2011

Salju Sakinah

Tajuk: Salju Sakinah
Penulis: Zaid Akhtar
Penerbit: PTS Publication
ISBN: 9789833604418
Harga: RM26.00

Hampir 2 minggu juga nak habiskan buku ni. Mungkin salah satu sebabnya, aku pergi bercuti jadi tak dapat nak meneruskan aktiviti membaca kerana memang jadual padat semasa bercuti ke Yogja baru-baru ini (aku akan ceritakan sedikit pengalaman aku di sana dalam post yang lain nanti). Dan yang kedua, mungkin jalan ceritanya tak mampu menarik aku untuk terus membaca tanpa henti buku ini. Puas aku mencari jiwa buku ini namun aku rasa gagal. Cuba menyelaminya namun masih gagal. Hanya di penghujung cerita barulah aku rasa aku sudah menjiwai dan mampu meneruskan bacaan. Oh! mungkin juga kerana aku ingin cepat2 habis membacanya....

Buku ini mengisahkan tentang Sumayyah, pelajar di Universiti Yarmouk di Jordan yang telah pulang ke Malaysia dan mengusahakan perniagaan kerepek yang diusahakan oleh arwah bapanya. Dalam masa yang sama Sumayyah juga mendapat tawaran untuk menjadi penceramah di Kampungnya atas permintaan bekas ustazahnya. Setelah pulang ke Malaysia, Sumayyah juga menghadapi berbagai ujian yang melibatkan dirinya sendiri dan juga keluarganya. Dia telah putus kasih sebelum peperiksaan akhirnya menjelma. Setelah pulang ke Malaysia pula, dia dapati bapanya telah meninggal dunia semasa dia menghadapi peperiksaan akhir. Namun ibu dan kakak2nya telah merahsiakan supaya Sumayyah boleh menghadapi peperiksaan akhir.

Setelah pulang pula Sumayyah mendapati bahawa kakak sulungnya berserta suami telah terlibat dengan ajaran sesat Tok Ayah Mit. Ini menyebabkan hubungan kakaknya serta ahli keluarga yang lain menjadi renggang. Sumayyah juga menjadi mangsa fitnah jirannya yang kuat cemburu dengan mengatakan Sumayyah cuba menggoda suaminya. Fitnah ini menyebabkan perniagaannya menghadapi masalah seperti tanah yang disewa perlu dikembalikan dan pekerja yang berpengalaman berhenti kerja.

Semua dugaan ini dihadapi oleh Sumayyah dengan penuh sabar, tenang dan tawakal kepada Allah. Sumayyah sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Namun dugaan yang paling kuat adalah apabila Sumayyah mendapati dirinya gagal dan 1 kertas semasa peperiksaan akhir dan perlu pulang ke Jordan untuk kembali ke kuliah. Namun ini juga pasti ada hikmahnya.....

Persoalan yang ditimbulkan oleh penulis dalam buku ini adalah permasalahan yang sedia ada dalam masyarakat melayu hari ini iaitu ajaran sesat. Ia yang berpunca dari sifat taklid buta dan juga ketaksuban kepada sesuatu menyebabkan kita telah lari dari landasan akidah yang sebenar. Punca utama pastinyalah kerana kurangnya ilmu. Kalau kita ada ilmu pula, pasti puncanya adalah kurangnya iman. Impak dari ajaran sesat juga dikupas oleh penulis dengan menunjukkan renggangnya hubungan kekeluargaan, malah menyebabkan rumah tangga porak- peranda.

Bahaya fitnah yang disebut didalam Al-Quran sebagai lebih merbahaya dari membunuh membuktikan bahawa, fitnah itu jika tersebar akan menjatuhkan maruah malah merenggang hubungan sesama manusia. Fitnah berpunca dari rasa tidak puas hati, cemburu buta dan rendahnya iman seseorang itu.

Beberapa persoalan remaja juga secara tidak langsung dikupas oleh penulis didalam buku ini, seperti hubungan bebas dan juga aurat wanita (rasa terkena juga pada diri sendiri). Kasih sayang seorang ibu yang tiada batasan dan persoalan cinta dan jodoh turut dikupas. Agak menarik juga bila akhirnya dapat kita ketahui hikmah disebalik kegagalan Sumayyah dalam kertas terakhirnya bila dia bertemu jodoh dengan orang yang tak pernah disangka2nya. Hubungan ukhuwah sesama muslim pula digambarkan penulis dengan eratnya hubungan Sumayyah dan rakan2 serumahnya.

Membaca buku ini membuatkan aku teringat pada salah seorang sahabat serumah aku semasa belajar di universiti dulu. Dia seorang lulusan Al-Azhar dan menyambung masternya di Universiti Malaya. Walaupun kami tidak berapa rapat namun aku amat suka bila masuk ke biliknya. Biliknya kecil namun penuh dengan buku. Aku pernah membelek2 bukunya tapi semuanya bahasa arab. Sayang sekali...Aku pernah meminta bantuannya berkenaan dengan assignment kertas pengajian Islam. Dia tak pernah lokek ilmu (terima kasih Kak Mimi sebab tolong saya buat assignment tu). Buku ini benar2 buat aku teringat pada dia. Sekarang kami dah terputus hubungan. Nama penuhnya aku tak ingat (tapi sedap sangat nama dia), namun aku memanggilnya Kak Mimi. Perkhabaran apa Kak Mimi sekarang?

Sunday, February 13, 2011

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Tajuk      : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
Penulis    : Hamka
Penerbit  : Pustaka Dini
ISBN     : 978-983-3707-67-6
Harga     : RM20.70



Semua orang pasti ingin mendapatkan naskah2 tulisan ulama terkenal ini. Bercita-cita ingin mngumpul buku-buku tulisan Hamka bermula apabila aku membaca buku Di Bawah Lindungan Kaabah. Walaupun bahasa yang digunakan puitis (almaklumlah ahli pujangga) namun aku masih dapat memahami apa yang ingin disampaikan dan tidak pernah pula aku merasa bosan ingin membacanya. Aku pun merasa pelik macam mana aku boleh faham, sedangkan masa di sekolah topik sastera ni memang hancur la...

Dan yang kelakarnya, aku membaca setiap baris ayat yang ditulis dan tenggelam dalam cerita tersebut. Seolah-olah aku terbayangkan apa yang digambarkan oleh Hamka. Buku ini ditulis semasa beliau telah remaja dan sudah pasti jiwa orang yang sedang bercinta itu begitu difahami oleh Hamka. Ini kerana Hamka berjaya menyampaikan segala kemungkinan2 yang berlaku dalam situasi orang bercinta dengan baik.

Aku cuba cuba meletakkan diri di dalam watak tersebut dan fikir apa keinginan aku. Namun Hamka cuba membina konflik sehingga buat kita berfikir tak semestinya apa yang kita mahu kita akan dapat. Selain itu, cinta itu racun dan juga penawar. Kerana cinta juga kita bersemangat dan kerana cinta juga kita akan melarat, namun kita masih ingin terus dicintai.  Bak kata Hamka

        "...penyakit itu telah terang namanya. Penyakit itu, tetapi nikmat; nikmat tetapi penyakit. Orang ditimpanya, tetapi orang itu tidak hendak sembuh darinya...Penyakit Cinta!"

Namun kalau dasar manusia, kadangkala darjat dan keturunan juga yang ingin dipandang tanpa mengira hati budi orang. Demi menjaga keturunan dan adat yang direka oleh manusia, mereka lupa cinta itu dikurniakan  Allah pada setiap insan tanpa mengenal darjat atau keturunan.

Kisah mengenai Zainuddin, seorang berketurunan Minangkabau di sebelah ayahnya yang jatuh cinta dengan Hayati yang juga berketurunan Minangkabau. Namun percintaan mereka telah dihalang oleh adat Minagkabau itu sendiri yang lebih mengutamakan pihak perempuan untuk kesinambungan adat dan keturunan serta harta. Disebabkan Zainuddin tidak beribukan Minangkabau maka dia telah dianggap tiada darjat. Zainuddin telah dihalau dari Batipuh kampung ayahnya sendiri dan dia membawa diri ke Pandang Panjang.

Hayati pula yang telah berpisah dengan Zainuddin terpaksa menerima pinangan Aziz, abang sahabat karibnya Khadijah. Walaupun terpaksa, tetapi Hayati masih memikirkan masa depannya setelah terpengaruh dengan kata2 Khadijah bahawa untuk hidup bahagia juga kita memerlukan wang dan harta. Jika tiada wang hidup yang melarat akan menyebabkan kita hilang cinta. 

Zainuddin yang kecewa sehingga jatuh sakit akhirnya bangkit kembali untuk meneruskan cita-citanya dan menjadi seorang penulis yang terkenal di Indonesia. Namun dia tidak pernah melupakan Hayati. Zainuddin telah bersahabat baik dengan Aziz dan apabila Aziz hidup melarat bersama isterinya, Zainuddin telah membantu dengan membawa mereka tinggal bersama. Namun Aziz yang ingin mencari kerja telah menceraikan isterinya.

Kaitan cerita ini dengan Kapal Van Der Wijck akhirnya terjawab juga apabila ia menjadi pemusnah impian Zainuddin dan Hayati untuk hidup bersama setelah mereka melalui suka duka berpisah akibat darjat dan keturunan. Hayati telah meninggal dunia akibat cedera apabila Kapal Van Der Wijck yang dinaiki olehnya untuk pulang ke kampung halamannya setelah diceraikan Aziz mengalami kemalangan.

Tuesday, January 25, 2011

Tuhan Manusia

Tajuk     : Tuhan Manusia
Penulis   : Faisal Tehrani
Penerbit : Al-Ameen Serve Holding Sdn Bhd
ISBN    :  9789833991372
Harga    : RM21.90

Pernah pergi ke kedai buku dan ternampak buku ini. Tajuk dah menarik tetapi cover buku macam tak besttttt aje...bila baca sinopsis di belakang ..."ooo...cerita pasal murtad"...tapi entah kenapa terus meletakkan semula buku tersebut di rak buku. Tak beli. Hanya tengok sekali sahaja. Nama penulis pun memang tak kenal tapi ala-ala arab gitu. Hmm...lain kali ajelah.

Tapi bila terbaca tentang Faisal Tehrani terus je rasa "aku kena dapatkan salah satu buku dia ni" hati berbisik. Pergi pula ke Goodreads dan cari tentang buku ni. Komen yang aku dapat positif tentang buku ni....hmmmm..memang kena beli. Tak kisah la cover buku tak cantik pun. Don't judge the book by its cover. 

Bila mula baca buku ni....apa ni? tak faham la....terlalu sarat. Lepas tu setiap bab akan dimulakan dengan ayat yang sama iaitu  Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.” Apa maksudnya? Dalam fikiran...terror gak la penulis ni sebab mampu memulakan setiap bab dengan ayat yang sama. Bukan 1, 2 bab tapi 20 bab tau.

Buku ini bercerita kisah Ali Taqi yang mencari kebenaran dan pemahaman di sebalik peristiwa abangnya, Talha yang telah murtad. Ali Taqi yang kecewa dengan sikap abangnya itu mencari punca kenapa abangnya sanggup meninggalkan agamanya iaitu Islam sedangkan mereka berdua mendapat pendidikan agama yang cukup dari keluarga.
Perjalanan Ali Taqi seorang remaja yang masih di alam persekolahan dalam mencari kebenaran menemukan dia dengan konsep Pluralisme iaitu kesaksamaan agama atau kepercayaan. Semua agama adalah benar mengikut konsep pluralisme ini. Jika Islam percaya Allah yang satu itu benar, Kristian yang percaya Jesus itu Anak Tuhan juga benar. Malahan semua agama termasuk atheis juga benar. Konsep ini timbul dari kepercayaan bahawa konflik agama berpunca dari ketidakpercayaan kita terhadap agama lain. Kononnya, perang salib juga berpunca dari hal ini. 

Pelopor pluralisme ini iaitu John Hick telah memperkenalkannya dan menganggap tujuan pluralisme ini adalah baik untuk masa depan dunia. Jika semua agama itu benar maka kenapakah wujudnya agama di dunia ini? 

Permulaan membaca buku ni rasa mencabar sangat sebab nak fahamkan konsep pluralisme tu. Tapi sabar juga membacanya sampai habis sebab percaya mesti ada yang ingin di sampaikan oleh Faisal sendiri. Lagipun ingin faham maksud pluralisme ini dengan lebih mendalam sebab baru2 ni ada terbaca di akhbar pasal pluralisme yang semakin menular.

Bagi pembaca yang tak mahu dibebani oleh cabaran berfikir akan terus berhenti dari membaca buku ini. Gaya bahasa yang digunakan oleh penulis juga berbelit2 (ini bagi diri aku kerana aku tak suka falsafah dan sastera). Penulis menyentuh mengenai makna pluralisme, sejarahnya, bagaimana ia menular dan punca2 pluralisme tersebut. 

Penulis juga secara tidak langsung telah mengkritik sistem pendidikan negara yang terlalu menyuap pelajar tanpa berfikir dan mengharapkan teks serta berteraskan peperiksaan semata2. Pelajar tidak didedahkan dengan isu semasa yang sepatutnya mereka ketahui atau persediaan untuk menghadapi sesuatu isu. Akhirnya pelajar sendiri tidak mampu atau hilang arah bila menghadapi sesuatu masalah. 
Penulis mungkin membantu pembaca (terutamanya orang yang macam aku ni) untuk mudah memahami apa yang ingin disampaikan apabila kebanyakan dialog umpama membaca teks atau mendengar syarahan dan bukan cerita. Kalau cerita mungkin saku pun tak faham juga agaknya apa yang ingin disampaikan oleh penulis. 

Di akhir bab juga diterangkan apa yang dimaksudkan dengan Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.”. Menurut penulis kita boleh megikut peradaban orang lain tapi tidak boleh meniru budaya mereka. Contohnya kita boleh meniru peradaban barat tapi bukan meniru budaya mereka yang songsang. Budaya dan peradaban itu pula mestilah bertiangkan agama iaitu agama Islam. 

Buku ini diterbitkan pada tahun 2007, ini bermakna semasa artikel yang aku sebutkan tadi keluar di akhbar pada tahun ini, penulis telah pun membincangkannya kira2 3 tahun yang lalu. Penulis telah memberi amaran tentang perkara ini lebih awal nampaknya. Persoalannya  sehingga ke hari ini, berapa ramaikah yang menyedari tentang kewujudan pluralisme ini? Fikir2 kan lah....




Thursday, January 13, 2011

Isabella: Sebuah Novel Perbandingan Agama Antara Islam dan Kristian


Tajuk : Isabella: Sebuah Novel Perbandingan Agama Antara Islam dan Kristian
Penulis : Maulana Muhammad Saeed Dehlvi
Penerbit: Kharisma Network Sdn Bhd
ISBN : 978-967-5029-40-0
Harga : RM22.00



Menyahut cabaran tahun 2011 untuk membaca sebanyak 50 buah buku bermula dengan buku ini. Tertarik membaca komen dan review yang dibuat oleh rakan2 di Goodreads tentang buku ini. Tambahan pula ia berkaitan dengan perbandingan antara agama Islam dan Kristian...sudah pasti ia memang menarik perhatian aku...

Tanpa berfikir panjang aku membelinya tetapi bukan semata2 kerana komen positif sahabat2 tetapi lebih kepada ingin mencari ilham dari buku tersebut. Ternyata tidak sia2 aku membelinya. Kerana dalam masa 2 hari sahaja aku telah habis membaca dan kepala aku sarat dengan ilmu2 yang aku perolehi dari buku ini. Rasa mahu baca sekali lagi tetapi kawan dah booking (tak apalah, memberi galakan kepada sesiapa sahaja untu membaca)

Mengisahkan tentang Isabella seorang anak gadis ketua paderi di Cordova yang akhirnya memeluk Islam hanya kerana keinginan beliau ingin menegakkan kebenaran agama asalnya iaitu Kristian. Isabella dibesarkan dengan cara hidup orang kristian dan belajar bersungguh tentang agamanya.

Namun pada suatu hari dia terdengar perbualan dua saudara Islam iaitu umar Lahmi dan sahabatnya tentang keraguan mereka terhadap Kristian. Isabella yang geram kerana merasa agamanya telah dipersendakan mempelawa Umar Lahmi ke gereja untuk berdebat dan mendapatkan jawapan terhadap keraguan yang dikemukan oleh Umar Lahmi dengan syarat Umar Lahmi akan memeluk agama Kristian jika mereka menemui jawapannya. Umar Lahmi tanpa rasa ragu menerima jemputan Isabella dan menerima syarat tersebut.

Bermula dari perdebatan di gereja itulah hati Isabella mula tertarik dengan ulasan2 dan bantahan Umar Lahmi terhadap agama Kristian. Dia mula mengkaji kitab Injil dan Al-Quran tanpa diketahui oleh bapanya. Sedikit demi sedikit dia mula tertarik dengan Islam dan mendapatkan pertolongan Umar Lahmi secara senyap2 tentang Islam tanpa pengetahuan bapa dan keluarganya.

Sehinggalah akhirnya Isabella nekad untuk memeluk Islam. Namun bukanlah semudah yang disangka kerana dia mendapat tentangan dari ayahnya sendiri iaitu ketua Paderi terbesar Cordova, yang pasti ingin menjaga maruah dan martabatnya. Isabella telah diseksa dengan kejam oleh rahib2 dr Inkuisisi yang tugasnya untuk menyeksa orang yang melakukan kesalahan terutamanya murtad. Namun akhirnya Isabella telah berjaya diselamatkan oleh 4 orang sahabatnya dengan menggunakan tipu daya.

Buku ini telah berjaya mencapai objektif atau menepati tajuk yang telah diberikan iaitu perbandingan agama. Ia terlalu padat dengan fakta tentang kepincangan agama Kristian dan kebenaran yang dibawa oleh Islam melalui nabi Muhammad. Persoalan2 yang dibentangkan adalah perkara2 antaranya:

1) Jesus itu anak Tuhan atau Manusia - Didalam kitab Injil tiada ayat yang menyatakan bahawa Jesus adalah anak Tuhan;

2) Kitab Injil yang dipegang oleh Kristian itu palsu atau benar - Kitab Injil (dikenali sebagai Kitab Perjanjian Lama) yang ditulis oleh beberapa pengikut Jesus dan kemudian pihak gereja berhak untuk memilih mana yang boleh dipakai;

3) Manusia itu dilahirkan berdosa atau suci - setiap orang yan lahir dikatakan memikul dosa Adam yang telah diturunkan ke dunia kerana telah memakan buah khuldi sedangkan Al-Quran menyatakan Adam dalam keadaan lupa semasa melakukannya. Berdosa adalah apabila kita melakukannya dengan sengaja dan dengan pengetahuan kita bukan kerana kita terlupa;

4) Penebusan dosa oleh para paderi- Paderi dianggap boleh mengampunkan dosa penganut Kristian dengan syarat mereka harus mengaku dihadapan paderi dan orang ramai digereja atas dosa mereka. Paderi dianggap suci sedangkan mereka juga melakukan dosa dan siapa pula yang boleh mengampunkan mereka? Perkara penebusan dosa ini menyebabkan orang Kristian tidak takut melakukan kesalahan kerana mereka boleh mengaku kesalahan mereka dan dosa mereka akan diampunkan. Mereka juga akan mengulangi dosa itu kembali.

Banyak lagi persoalan2 yang dibincangkan di dalam buku ini. Penulis menerangkan satu persatu kepincangan dengan bahasa yang mudah difahami, berpandukan kepada apa yang ditulis di dalam Kitab Injil itu sendiri dan kemudian dibetulkan segala kepincangan tersebut dengan ayat2 Al-Quran. Semua perbincangan fakta ini dibuat dalam bentuk dialog.

Walaupun ianya sebuah novel tetapi ia tidak meleret2 dan lebih kepada fakta. Boleh aku katakan hanya beberapa muka surat di depan menceritakan siapa Isabella dan muka surat yang terakhir menceritakan kesudahan hidup Isabella. Tak perlu membaca dengan melangakau muka untuk mengetahui tentang apa yang berlaku seterusnya kerana ini akan menyebabkan kita tertinggal tentang hujah2 yang diberikan terhadap persoalan2 tentang Kristian itu.

Setelah membaca buku ini aku rasa sedikit yakin ( tak berani menyatakan yakin sepenuhnya kerana banyak lagi yang perlu aku ketahui dan pelajari) dalam menghadapi tentangan atau hujahan terhadap agama Islam. Mungkin juga aku boleh menggunakannya buku ini sebagai tauladan untuk berdakwah...almaklumlahhh...aku sedang berteman dengan orang yang berlainan agama juga iaitu Kristian (dek kerana ini jugalah aku membeli buku ini). Moga2 Allah permudahkan jalan dakwah ini...dan mohon Allah memberi petunjuk dan hidayah kepadanya....Aminnn


Sunday, May 9, 2010

Di Bawah lindungan Kaabah

Tajuk : Di Bawah Lindungan Kaabah
Terbitan : Pustaka Dini
Penulis : Hamka
ISBN :978-983-9422-41-2
Harga : RM6.90








Setiap kali ingin membeli buku aku akan lihat dulu sinopsisnya di belakang kulit buku. Tajuknya pun dah menarik tapi tak tau la ceritanya bagaimana kan? Tapi bila dah baca belakang kulit buku ni aku pelik, kenapa tajuk buku ni "Di Bawah Lindungan Kaabah". Jadi aku pun beli la. Lagipun tengok la harga dan penulisnya pula. Macam rugi kalau tak beli. Lagipun, banyak orang syorkan membaca buku tulisan Hamka, ulama terkenal Indonesia.

Membaca mukasurat pertama...aduhhhh!!! Berbunga2 sungguh buku ni. Aku kalau bab baca buku macam ni, alamatnya tak faham la aku. Tapi demi Hamka, aku baca juga. Tapi bila teruskan membaca..oooh! tak la susah sangat nak faham.

Mengisahkan tentang Hamid yang meninggalkan Indonesia dan pergi ke Maakah kerana menuntut ilmu dan juga ingin melupakan kekasih hatinya Zainab. Zainab yang dikenali sejak kecil, pada mulanya dianggap sebagai adik, tetapi apabila telah dewasa cinta mereka berputik. Tetapi percintaan mereka terhalang oleh perbezaan darjat dan keturunan. Walaupun mungkin ibubapa Zainab tidak kisah akan darjat ini, tetapi Ibu Hamid sebelum meninggal telah mengingatkan Hamid tentang perbezaan ini.

Demi memenuhi kehendak ibu, serta sedar yang dirinya berasal dari keluarga yang miskin, Hamid membawa diri. Tambahan pula ibu Zainab ingin menjodohkan Zainab dengan keluarganya yang terdekat dan meminta Hamid memujuk Zainab menerima pinangan tersebut. Hamid juga tidak mengetahui samada Zainab juga menaruh hati padanya.

Setelah mengetahui Zainab juga menaruh hati pada Hamid, Hamid bertekad untuk pulang bagi mengubat rindu pada Zainab setelah dia menunaikan hajinya. Tapi siapa pula yang dapat Hamid temui???

Buku karangan Hamka ini menunjukkan betapa didikan agama itu, membuatkan Hamid tidak mampu untuk menyatakan rasa cintanya kepada Zainab kerana perasaan malunya. Keinginan Hamid untuk mendapat keredhaan Allah melebihi keinginannya mendapatkan Zainab. Satu pengajaran yang diterapkan oleh Hamka betapa kesabaran itu akan mendapat balasan yang baik dari Allah.

Jalan ceritanya yang pendek dan ringkas (hanya 84 muka surat aje...1/2 hari pun boleh habis ni...) serta mudah difahami walaupun ayatnya berbunga2. Terdapat dialog tentang cinta yang menarik ingin aku petik di sini. " Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap2 diri manusia. Ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain2 menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain2 perangai yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budi pekerti yang tinggi dan lain2 perangai yang terpuji"

Kalau nak dapatkan buku ni secara online boleh la dapatkan di Kedai-Buku.com atau dapatkan aje di mana2 kedai buku. Kalau nak cari sendiri buku ni kat kedai buku mungkin agak susah sebab dia kecik dan nipis, jadi lebih baik tanya di kaunter.






Saturday, May 8, 2010

Musafir Cinta

Musafir Cinta



RM 18.00
Tajuk Buku: Musafir Cinta
Terbitan : PTS Litera Utama Sdn Bhd
Penulis : Taufiqurrahman Al-Azizy
ISBN : 978-983-3892-10-5
Harga : RM18.00 (Semenanjung malaysia)





Pertama kali melihat tajuk buku ni, andaian ianya tentang kisah cinta pasal remaja masa kini. Tapi anggapan aku silap bila membaca sinopsis di belakang kulit buku ni. "Iqbal pun beraksi, meninggalkan segala jenis ibadah yag istiqamah diamalkannya selama ini. Mencampakkan iman dan jiwa Islamnya. Rumah ibadah lain pun dikunjunginya. Tetapi semakin berani dia menentang agamanya, semakin lebar jugalah kehampaan jiwa yang menderanya. Hatinya kian gundah, hidupnya kian nestapa."
Setelah membaca perenggan ini tanpa fikir panjang terus aje aku beli. Lagi pun penulisnya agak terkenal juga, hingga mencapai bestseller di Indonesia.

Membaca bab pertama buku ini,pasti kita akan tertarik untuk mengetahui apakah yang akan terjadi seterusnya kepada Iqbal. Iqbal Maulana, seorang pelajar pasentran tegal Jadin yang terpaksa mengembara mencari cintanya pada Ilahi dan meninggalkan cintanya kepada 3 wanita di pasentran tersebut. Inilah yang dinamakan Musafir Cinta. Sebab kenapa dia harus keluar dari pasentran ini bukanlah pada bab pertama ini. Sebab itulah aku katakan membaca bab pertama ingin terus membaca untuk mengetahui lagi cerita seterusnya.

Membaca bab yang seterusnya pula, kita akan mengetahui kenapa dan siapa Iqbal Maulana sebelum dia menjadi pelajar di pasentran Tegal Jadin. Bila mengetahui asal usulnya kita akan menyedari betapa Hidayah Allah itu tidak mengira siapa pun, kalau Allah ingin memberinya, pasti Dia akan beri.

Perjalanan Iqbal yang penuh dengan onak duri tetapi masih lagi berpegang pada petunjuk Allah. Bertemu dengan berbagai jenis orang dan sentiasa pula diuji kematangan fikirannya serta prinsipnya pada Islam. Sikap Iqbal yang sentiasa berfikiran positif menemukannya pada Firman, seorang pemuda jalanan yang tak tentu jalan hidupnya. Apa yang berlaku pada mereka berdua selepas itu amat menarik sekali. Seakan kita ingin bertemu dengan Iqbal dan memberi kita tunjuk ajar tentang Islam. (Kalau aku plak fikir bertuahnya la kekasih Iqbal yang bertiga itu). Hehehe

Membaca buku ini seakan kita membaca hati dan fikiran orang lain. Cuba bayangkan kita boleh membaca dan mengetahui fikiran orang tersebut. Macam tulah kiranya bila kita membaca buku ni. Bagaimana Iqbal membuat keputusan, berfikir apa yang harus dilakukan - semuanya seakan jelas di mata bila membacanya.

Apa yang menarik lagi banyak diselitkan ayat-ayat Al-Quran yang boleh dijadikan panduan untuk kita. (Mungkin kita selalu membaca Al-Quran tetapi adakah kita memahami maksudnya?). Maksud di sebalik Ayat-ayat Al-Quran di dalam cerita ini tidaklah diterangkan secara terus, tetapi kita akan dapat memahami kenapa ayat tersebut berkaitan dengan cerita yang disampaikan.

Banyak juga dialog2 di dalam buku ini yang boleh dijadikan pengajaran. Contoh dialog antara Anton dan Iqbal semasa di dalam bas " Saya percaya setiap agama itu baik dan benar. Walaupun agama itu demikian, belum tentu penganutnya2 demikian......agama hanya dijadikan topeng, dijadikan alat,dijadikan kenderaan bagi memenuhi nafsu2 pengikut2nya." Aku rasa ini adalah pengajaran utama buku ini.

Sepanjang membaca buku ini dapatlah disimpulkan bahawa kita jangan lah mudah memandang negatif pada semua orang, malahan kita juga sepatutnya berdoa agar mereka diberi hidayah dan tidak pula memburuk2kan mereka. Contohnya penagih dadah, bohsia ataupun mereka yang selalu melakukan larangan Allah. Sebab kita tidak tahu kenapa mereka memilih jalan hidup mereka begitu dan apa sebab2 mereka jadi begitu. Kita tidak tahu. Hanya Allah sahaja lah yang tahu semua itu.

Aku akui, aku bukanlah seorang yang suka sangat membaca novel seperti dahulu (kena tengok tajuk dan jalan cerita baru decide nak beli ke tidak), tetapi tumbuhnya novel2 Islami yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan seperti ini, yang bukan menjurus cinta lelaki dan perempuan, mengubah persepsi aku terhadap novel2. Sebab cara penulis menyampaikan dakwah itu mungkin lebih senang difahami berbanding dengan kita membaca buku besifat ilmu atau fiksyen.

Jadi pada sesiapa yang nak membeli buku ini bolehlah beli di mana2 kedai buku. Atau kalau malas nak pergi kedai buku boleh klik di gambar atas dan beli secara online.



Tuesday, December 22, 2009

Ketika Cinta Bertasbih

Last week lepas abis baca buku Natrah, aku mencari plak buku Ketika Cinta Bertasbih tulisan Habiburahman El-Shirazy. Bukannya apa, emosi terganggu sbb membaca Natrah. Sangat terkesan. Bayangkan sepanjang aku membaca, air mata tak henti mengalir. Bila teringatkan nasib Natrah, aku jadi sedih. Emosional sgt ke aku ni?


Tu yg cepat2 g mencari buku Ketika Cinta Bertasbih. Aku decide utk beli berasingan sbb kalu beli utk 2 siri dlm 1 buku mahal. Dlm RM70 mcm tu. Kalu beli asing tak smapi RM50 pun. Siri satu RM21.90 dan siri 2 RM25.90. Jadi total RM47.80. Jauh beza tu. Siri satu beli kat Kinokuniya lg satu beli kat MPH. Tapi siri 2 tu kena tukar balik sbb ade muka surat yg diulang cetak. Banyak jugak. Dlm 30 muka mcm tu. Nasib baik la boleh tukar kat mana2 MPH. Kalau tak jenuh aku nk g Mid Valley blk.


Ketika Cinta Bertasbih 1 menceritakan tentang Azzam mahasiswa Al-Azhar yg telah menuntut di sana selama 9 tahun tetapi masih belum lulus lg. Sebabnya, dia menumpukan perhatian mencari rezeki utk menjual bakso dan tempe bg menyara mak dan adik2 nya yg masih belajar. Sebagai anak sulung dan lelaki tunggal maka dia harus bertanggungjawab menjaga keluarga setelah kematian ayahnya.


Sungguhpun begitu, memikirkan cadangan seorang paman yg ditemui ketika berurusan dengan Eliana (anak duta Indonesia), dia pun memutuskan utk meminang Anna Althafunnisa sbg isteri. Namun apa yg tidak diketahui Anna telah pun disunting oleh rakan baiknya Furqan.


Sedikit kecewa, Azzam terus berusaha untuk menamatkan pengajiannya dan mengumpulkan wang utk pulang. Adiknya telah mengutus surat supaya abg nya dpt menumpukan perhatian pada pelajaran, kerana mereka telah berjaya dan bekerja serta mampu menanggung keluarga.


Azzam belajar bersungguh2 suapaya dia dapat pulang ke Indonesia bertemu keluarga. Setelah lulus Azzam pun pulang ke Indonesia. Apa pula terjadi pd Azzam di Indonesia bersambung ke siri 2.


Dalam siri 2, cerita lbh kepada Anna Althafunnissa (anak seorang kiai besar di pasentran) yg telah dipinang oleh Furqan. Permulaannya Anna berbelah bahagi utk menerima Furqan. Ibu dan Ayah Anna juga merasakan bahawa Anna tidak betul2 nekad dgn keputusannya. Malah mereka dalam diam lbh merestui Azzam menjadi menantu mereka setelah berkenalan secara tidak sengaja ketika Azzam datang ke rumah Anna. Tapi Anna nekad dia dan berusaha untuk menjadi isteri yg terbaik untuk Furqan.


Namun, setelah berkahwin, Furqan tidak melayan Anna sebagai isteri seperti sepatutnya. Namun Anna masih bersabar tanpa mengetahui apa yg menyebabkan Furqan jadi begitu. Sebenarnya Furqan dijangkiti HIV semasa di Al-Azhar dari seorang wanita yg tidak dikenali semasa menginap di sebuah hotel tanpa disedari oleh Furqan. Wanita tersebut adalah seorang rakyat Israel yg menjalankan kerja menyebarkan virus HIV tersebut.


Setelah 6 bulan berkahwin, Furqan berterus terang kepada Anna menyebabkan Anna rasa tertipu dan nekad meminta cerai dari Furqan. Azzam pula mencari2 calon isteri yang terbaik utknya. Namun masih tidak berjumpa sehinggalah dia dikenalkan oleh jirannya dgn seorang calon iaitu Vivi, dan akhirnya mereka bertunang. Namun....adakah mereka berkahwin...hehehe...mau bg tau tak agaknya? Baca sendiri la ye. Dapatkan bukunya di pasaran.


Bila baca buku ni....hmmmm kalu bagi rating 1-5, aku bagi 2.5 atau 3 sahaja untuk jalan cerita. Sebab ceritanye lebih kepada kisah pelajar di Al-Azhar yg mencari jodoh. Sepanjang cerita kisah mencari jodoh. Jadi aku rasa tak ada apa yg menarik sangat tentang Ketika Cinta Bertasbih. Ayat2 Cinta mungkin lbh menarik aku rasakan.


Cuma ada satu bab yg ada menerangkan mengapa Tuhan itu satu, bkn 2 atau 3, tidak pula beranak atau diperanakkan. Penerangannya panjang lebar sekali. Aku amat tertarik dengan cara penerangannya. Kalu Tuhan itu ada 2 ,3 pasti dunia ini tunggang terbalik kerana ada keputusan yg tidak dpt dipersetujui. Setiapnya mesti mahu menunjukkan kekuasaan masing2.


Lagi satu mungkin sepanjang ia mengolah cerita mengenai mencari jodoh, aku faham semua manusia sama. walaupun mereka mempunyai pengetahuan agama yg baik tetapi mereka tak terlepas dari ingin mencintai dan dicintai. Bezanya mungkin mereka lbh berhemah dan redha jika mereka tidak memperoleh cinta yang mereka ingini. Kalu orang zaman sekarang kalu tak dapat nk buat mcm2 guna bomoh la, nak bunuh diri la. Tunjuk protes sbb x dapat. Setiap apa yang Allah tentukan itu pasti ada hikmahnya. Betul tak?

Tuesday, November 3, 2009

Ayat-Ayat Cinta

Sabtu lepas aku menghabiskan bacaan buku Ayat-Ayat Cinta karangan Habiburahman Al-Sherazy. Buku tu dibeli oleh bf aku kat indonesia (siap ada signature penulis lg...suka sangat). Saja nak hilangkan rase sedih kehilangan ayah aku - Al- Fatihah (slalunya kalu dah tgk buku aku lupa benda lain) Tapi bukan nak cerita pasal penulis yang telah hampir buat aku separuh tak waras kerana novelnye, tapi nak cerita pasal tulisannya yg buat aku jatuh cinta bacaan pertama (bukan jatuh cinta pandang pertama...hehehe)

Ayat2 cinta versi novel ni mmg berbeza sedikit dr versi filem. sbb dalam filem kt x dapat menyelami hati pelakon2 tersebut. Tapi dalam novel kt akan menyelami serta memahami latar belakang sebenar watak. Tapi yang memberi kesan mendalam pada aku adalah Hadis2 serta ayat2 Al-Quran yg digunakan serta puisi2 berbaur islam yg disertakan didalam novel tersebut. Bagaimana seseorang yg mentaati Allah akan diuji kesabarannya dan penerimaannya terhadap ujian tersebut. Watak2 seorang muslimah sejati benar2 menyenangkan jiwa aku. Kalu la aku boleh menjadi seperti Aisha (watak dlm novel n filem sedikit berbeza aku rasakan) atau tidak pun seperti Nurul Azkiya( sedap nama tu).

Penggunaan bahasa Arab (disertakan maksudnya juga) amat menarik sekali. Tibe2 teringin nak belajar bahasa Al-Quran tu...hmmmm....mgkn aku tertarik dgn cerita ni sbb ia mengisahkan juga ttg dua agama yg berbeza ( nak cari tips2 yang bagus utk dipraktikkan...hehehe), bagaimana kt nak menyenangi hati org yg berbeza agama dgn kt...aku pun tak mampu buat seperti mana Fahri melayan jirannya yang beragama Kristian itu....sungguh indah ajaran Islam terhadap org yg berbeza agama ini..

Novel ini amat menarik sekali sehingga aku ingin membeli kesemua novel tulisan Habiburahman. Ini adalah dakwah cara baru yg dapat menyuntik hati terutamanya remaja supaya memahami (itu yg penting) dan mengamalkan (ini lg penting) ajaran islam itu sendiri.

Selepas ini buku apa pula....hehehe aku dh separuh gile cari buku n cd dia kat internet...buku senang je nk cr tp VCD tak ada (frust gilerrrrrrr)....tunggu lepas aku habis exam confirm aku order buku tu. Kalu beli sekarang nnt tak dapat concentrate utk study plak...hehehe..nantikan ya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...