Sunday, April 3, 2011

Dwilogi Padang Bulan Dan Cinta di Dalam Gelas - Part 1

Tajuk: Padang Bulan  dan Cinta di Dalam Gelas
Penulis: Andrea Hirata
Penerbit: Bentang (buku ini dibeli di Indonesia, penerbit bagi keluaran di Malaysia adalah PTS)
ISBN: 978-602-8811-09-5
Harga: lebih kurang RM27++ (IDR78,000), untuk terbitan di Malaysia RM23.00

Buku ini hadiah dari teman istimewa yang berkunjung ke Indonesia. Aku juga yang bising suruh dia beli buku ini dan tidak membazirkan duitnya dengan membeli aku benda yang aku tak perlukan. Masa tu juga, buku ni masih belum ada di Malaysia. Jadi bila dia betul2 memenuhi kehendak aku....aku rasa gembira sangat.

Padang Bulan mengisahkan tentang Ikal yang berusaha untuk menawan semula hati kekasihnya iaitu A Ling, seorang berketurunan TiongHoa yang dikhabarkan ingin berkahwin dengan seorang usahawan bernama Zinar. Berita ini dikhabarkan oleh sahabatnya Detektif M. Nur, seorang detektif tidak bertauliah di kampung mereka iaitu Tanjung Pinang.

Kerana rasa kecewa yang amat sangat, Ikal telah melakukan bermacam-macam perkara kerana ingin menarik kembali hati A Ling yang meninggalkannya tanpa pesan. Ini termasuklah membatalkan pemergiannya untuk ke Jakarta mencari kerja (Ikal berkelulusan Ijazah!).  Sahabat yang sepatutnya menemani Ikal ke Jakarta iaitu Detektif M. Nur juga berbelah bahagi hendak ke Jakarta. Dia juga membatalkan hasrat ke Jakarta hanya kerana tidak sanggup meninggalkan burung merpati kesayangannya iaitu Jose Rizal. (Bukan berat hati meninggalkan ibunya keseorangan!!!).

Ikal  belajar bermain catur (menurut detektif tersebut, kekasih A Ling yang baru itu sangat pandai bermain catur).Namun semuanya sia-sia kerana Zinar sangat pandai bermain catur dan mampu mengalahkan Ikal hanya dalam satu set permainan sahaja (walaupun Ikal mendapat bimbingan dari sahabat lamanya di Universiti, seorang Grand Master!).

Ikal mencari-cari lagi punca A ling berubah hati sehingga memilih Zinar yang kaya, segak dan tinggi orangnya. Perkara paling lucu (bagi aku paling bodoh sebagai seorang yang terpelajar seperti Ikal!) adalah apabila Ikal membeli sebuah alat untuk meninggikan tubuh badannya (mana boleh tinggikan tubuh badan macam tu aje!!!! ini yang aku katakan paling bodoh!). Ini kerana setelah difikirkan kekurangan dirinya, Ikal mendapati ia berpunca dari tubuh badannya yang pendek berbanding Zinar. Alat bernama Ortoceria itu hampir meragut nyawa Ikal sendiri namun dapat diselamatkan oleh Maryamah dan Detektif M. Nur. Inilah perkara paling bodoh yang telah dilakukan oleh Ikal sepanjang hayatnya.

Namun akhirmnya Ikal mendapati sebenarnya Zinar adalah sepupu A Ling dan A Ling bukan meninggalkannya, tetapi pergi membantu Zinar yang ingin melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan hatinya. Aku tak mampu menahan gelak sepanjang aku membaca buku ini kerana tak tahan membaca setiap keletah Ikal yang tidak berfikir secara rasional dalam melakukan perkara yang mampu menarik kembali hati kekasihnya.

Pada awal cerita ini, penulis menceritakan tentang Maryamah yang terpaksa berhenti belajar dan bekerja sebagai pelombong timah menggantikan bapanya yang telah meninggal dunia. Kerana usianya yang masih kecil Maryamah terpaksa bekerja sebagai pelombong kerana tiada siapa yang ingin mengambilnya bekerja kerana faktor usianya. Hasrat Maryamah yang ingin menjadi guru bahasa Inggeris terpaksa dibatalkan kerana ingin memastikan adik-adiknya yang lain mendapat pelajaran.

Di sini aku sedikit terganggu dan kurang faham kenapa penulis yang memulakan cerita tentang Maryamah, tetapi di pertengahan jalan bercerita tentang Ikal. Walaupun penulis cuba mengaitkan Ikal yang berkenalan dengan Maryamah dan membantu Maryamah untuk mendaftar kelas bahasa Inggeris, namun aku tetap rasa terganggu cara perhubungan antara kisah Maryamah di awalnya dan kisah Ikal yang bermula pada pertengahan cerita. Kisah Ikal tiba-tiba menjelma pada bab 10 kisah Ulangtahun. Pada mulanya aku fikir, penulis bercerita tentang Maryamah.

Namun setelah aku telah membaca lagi aku faham ia adalah watak baru iaitu Ikal. Buku ini membuatkan aku tersenyum sepanjang membacanya. Memang kelakar habis la. Sehingga buat aku terfikir ada juga orang seperti Ikal yang nak jadi tinggi semata-mata nak pikat kekasih...Hahahaha

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...